Klang 3 Julai 2010 – Lebih 300 orang wanita muslimat dari Parlimen Kota Raja telah berhimpun di masjid An Naim, Jalan Kebun, Klang untuk mengikuti Program SPIES Keluarga – Tahsin Ibadah. Program anjuran Sekretariat Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama PUSBA ( Pusat pengajian Bahasa Arab & Al Quran turut mendapat kerjasama padu dari ABIM Selangor, HELWA Masjid dan HELWA JKKK Kg Jalan Kebun.
Dalam program ini juga turut diadakan pameran aktiviti dakwah yang dilakukan oleh ABIM Selangor dan Rumah Perlindungan wanita Darul Wardah ( DARWA ).
Program tersebut bermula dengan penerangan Program SPIES oleh Ustaz Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, perunding PUSBA dan diikuti dengan ceramah berkaitan solat oleh Ustazah Hazlina Abd Razak. Untuk melengkapkan proses teori dan pratikal, Ustaz Azman Ahmad telah memimpin Solat sunat Tasbih dan Solat Sunat Dhuha.
Ibadah solat mengandungi pelbagai jenis hikmah dan rahsia. Hikmah dan rahsia ini termasuklah didikan, asuhan, faedah, dan tujuan. Amat tinggi nilainya terhadap orang yang melaksanakannnya.
“Dengan mengetahui hikmah yang terdapat dalam solat, kita akan berasa khusyu’ dan bahagia sekali kerana dapat menerima kurniaan anugerah solat daripada Allah s.w.t, yang merupakan ibadah dan terapi yang cukup berharga.”
Selepas selesai solat, pihak penganjur telah menjemput Seorang pensyarah dan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya ( UM ), En. Ng Siew Cheok yang terlibat dalam kajian solat dari perspektif sains. Projek penyelidikan tersebut diketuai oleh Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal diFakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) dan Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas.Mereka telah berjaya membuktikan pergerakan solat dan implikasi kesihatan fizikal.
En. Ng menerangkan “Dalam kajian yang dilakukan, solat yang betul mampu merawat masalah sakit tulang belakang dan penyakit lain. “ Kalau banyak solat tak sakit tulang belakang” ujarnya lagi. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
Beliau menjelaskan bahawa “Kajian solat yang dilakukan meliputi beberapa sudut antaranya ialah solat berjamaah, pergerakan ruku’ pergerakan sujud dan kedudukan jari kaki ketika posisi tahiyat” .
Program tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Raja, Yang Berhormat Dr. Mariah Mahmud. Beliau sempat menitipkan amanat kepada semua yang hadir agar menjadikan solat sebagai tiang seri kehidupan. “Masalah sosial yang banyak berlaku hari ini adalah akerana ramai yang mengabaikan solat” ujarnya lagi.
Program tersebut diakhiri dengan ucapan perasmian penutup oleh Yang Berhormat Tuan Mat Suhaimi Shafiei, Ahli Dewan Negeri Seri Muda. Dalam ucapannya beliau menggesa agar semua ahli masyarakat di kawasan Parlimen Kota Raja dapat memanfaatkan program-program merakyatkan Ekonomi Selangor ( MES ) seperti Bantuan belajar ke IPT, Bantuan Warga Emas, Bantuan keusahawanan dan sebagainya.
300 WANITA DALAMI KEAJAIBAN SOLAT
This entry was posted on Monday, July 5, 2010. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Responses are currently closed.



