SPIES KELUARGA ERATKAN KASIH SAYANG


Gombak, 29 Mei 2009 – “ Seminar kekeluargaan dan kemahiran keibubapaan seperti ini perlu diadakan dengan lebih kerap” kata Pn Sharifah, salah seorang peserta Seminar SPIES Keluarga yang dianjurkan oleh Sekretariat Pendidikan, pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama PUSBA ( Pusat Pengajian Bahasa Arab & Al Quran) dan Sekolah Rendah Agama Sungai Tua Baru, Gombak.

Program seminar tersebut dihadiri oleh 100 orang peserta yang terdiri orang ibubapa dan anak-anak remaja dari kawasan DUN Batu Cave. Modul SPIES Keluarga kali ini lebih banyak menggunakan pendekatan praktikal dan komunikasi dan interaksi aktif dua hala . Semua peserta diberi ruang dan peluang untuk menyatakan masalah dan berkongsi pandangan mereka dalam hal ehwal mengurus keluarga.



Topik utama dalam Seminar ini ialah mengenali diri dan mengenali Tuhan. “Pembinaan spiritual dan ruh adalah paling utama dan asas dalam usaha pembangunan insan” kata Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, jurulatih utama PUSBA. Ujarnya lagi ” Sebagai orang Islam pembinaan spiritual yang mantap bermakna kita membina iman dan takwa kepada Allah yang telah menjadikan manusia itu sendiri”.

Dalam topik komunikasi keluarga, peserta dibawa menghimbau kepada kenangan lalu ketika mereka baru mula mencari pasangan untuk mendirikan rumahtangga. Menurut En Nordin Kamsin, Jurulatih dan peceramah PUSBA, “mengikut kajian dan pengalamannya sendiri sebagai seorang jurulatih program kekeluargaan, Kebanyakan masalah yang berlaku dalam rumah tangga banyak berpunca dari masalah komunikasi”. "Kemahiran komunikasi sangat berkait rapat dengan kemahiran sosial". Kemahiran sosial perlu dibangunkan seimbang dengan empat komponan yang lain iaitu spiritual, fizikal, Intelektual dan Emosional.

Katanya lagi “Sumber rujukan dan pakar komunikasi yang terunggul sekali tentunya Junjungan Besar nabi kita Muhammad SAW.”. Beliau bukan sekadar dapat berkomunikasi dengan semua isterinya dengan baik dan berkesan tetapi juga kepada semua pimpinan negara diperingkat nasional dan internasional”.

Menurut Jurulatih kanan PUSBA, Ustazah Hazlina Abd Razak, “Kelebihan wanita adalah dari aspek emosi. Justeru orang wanita mesti diberi kemahiran untuk mengurus emosi mereka dengan baik. Bagi memantapkan lagi keharmonian rumah tangga, suami juga harus tahu bagaimana hendak ‘mengurut’ emosi isteri agar dapat disalurkan ke tempat yang betul.

“emosi kasih sayang harus disemai, dipupuk dan disuburkan dalam kehidupan berkeluarga. Kasih sayang yang pudar dan hambar akan menjadikan rumahtangga panas dan gersang. Akhirnya akan membawa kepada keluarga yang mudah 'terbakar' dan jika tidak segera diselamatkan ia akan menghanguskan mahligai indah yang telah dibina sekian lama.

Menurut En Abu seorang peserta veteran yang menemani cucunya, " Saya merasa bersyukur dan berterima kasih kerana dapat mengikuti program ini kerana dapat membuka minda dan hatinya untuk menghadapi kehidupan yang dengan cabaran dan dugaan"." Saya harap program seperti ini dapat diteruskan dan diadakan setiap tahun.

This entry was posted on Monday, May 31, 2010. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Responses are currently closed.