Sabak Bernam, 24 Mei 09 – Akademi Zakat Selangor ( AZAS ) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa Arab & Al Quran ( PUSBA ) telah berjaya melaksanakan Program Hijrah Ilmu untuk anak-anak asnaf zakat yang mengambil Peperiksaan Sekolah Rendah Agama ( PSRA ) bagi daerah Sabak Bernam PA 22 – 24 Mei yang lalu.
Program ini merupakan satu modul latihan yang telah dirangka oleh AZAS untuk membantu kecemerlangan anak-anak Asnaf Zakat Selangor. Program berlangsung selama tiga hari dua malam telah dilaksanakan di Hay Resort Sabak Bernam..
Menurut Jurulatih utama PUSBA, Ustaz Mohd Zawawi Mughni, sepanjang latihan tersebut pelajar-pelajar didedahkan tentang motivasi kejayaan, kemahiran berfikir, Teknik membuat nota, Kaedah mengingat, pengurusan masa berkesan , membina matlamat hidup dan tips kejayaan dalam peperiksaan PSRA.
Pelajar-pelajar didedahkan dengan konsep experiantal learning melalui aktiviti permainan yang dirangka khusus untuk pelajar memahami dan menghayati setiap kemahiran yang di terapkan.
Pengurus dan Jurulatih kanan PUSBA Ustazah Hazlina Abd Razak menambah:
” selain konsep experiantal learning pelajar juga diperlihatkan tayangan multimedia yang menyentuh hati pelajar-pelajar . Filem pendek yang mengisahkan tentang ketabahan dan pengorbanan seorang ibu benar-benar membuatkan pelajar mengalirkan air mata dan insaf dengan pengorbanan ibu bapa mereka yang bersusah payah memastikan pendidikan dan kejayaan mereka tidakterabai”
Sepanjang program tersebut pelbagai aktiviti latihan kerohanian dilakukan seperti solat berjemaah, Solat Dhuha, Qiamullail, wirid, zikir, Selawat ditanam dalam diri pelajar-pelajar. Latihan kerohanian ini merupakan benteng yang dapat memandu dan menjana pelajar –pelajar kearah membina matlamat tertinggi iaitu kecemerlangan dunia dan akhirat.
Aktiviti-aktiviti kecergasan dan ketahanan fizikal seperti Riadah pagi dan petang dirangka khusus untuk meguji kekuatan Jasmani dan emosional peserta. Selain dari itu ia juga mengandungi elemen-elemen yang bertujuan untuk menguji , tahap kesabaran, setiakawan, kerjasama, tolenrasi dan nilai-nilai murni dalam hidup insan.
Semua pelajar yang menyertai program ini begitu teruja dan menganggap program ini banyak membantu mereka untuk mengenali diri dan mengasah bakat dan potensi diri untuk mencapai kecemerlangan yang sebenar. Mereka menyatakan rasa syukur dan terima kasih kerana hasil dari kutipan zakat dari orang ramai ini membolehkan mereka menerima nikmat pendidikan yang sangat bernilai.
Sehubungan dengan itu Pusat Pengajian B Arab Dan Al Quran ( PUSBA ) mengalukan kepada semua ibu bapa dan mereka yang berminat untuk mengikuti modul kursus latihan pembangunan insan yang lain kendalian PUSBA boleh menghubungi Mohd Zawawi di talian 019 333 9871 atau layari laman blog kami di pusba.blogspot.com.



